Monday 17 October 2011

Pemuda yang Menggoncang Dunia

“Pemuda yang Menggoncang Dunia”
                  Senja mula menjengah.Laungan azan oleh bilal Sufi benar-benar mententeramkan jiwa yang mendengarkannya.Unggas mula bersahutan memuji kebesaran Tuhan-Nya yang mencipta segenap lapisan alam.Tidak kurang juga Ilham,yang meratib tasbihnya demi melengkapkan taklifat yang diberikan naqibnya.Zikir tujuh,SubhanaAllah,Alhamdulillah,Lailaha Illa Allah,Allahu Akbar,Astaghfirullah,La Haula Wala Quwwata Illa Billah dan Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad sebanyak 100 kali setiap zikir itu perlu dihabiskan segera sebelum dia masuk ke dalam usrah akh Faiz.”Seorang daie perlu mengisi jiwanya dengan zikrullah, supaya bila mana satu saat nanti kita diuji Allah SWT,apa yang terkeluar dari bibir kita bukannya keluhan dan penyesalan,tapi kesyukuran dan penyerahan diri kepada Allah SWT.Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada Allah kita kembali.”Kalimat itu Ilham sematkan ke dalam hatinya yang paling dalam.

              Justeru,membuat dirinya tidak betah untuk melantun zikir kepadaNya.Dia sedar, dalam kerangka untuk mengajak rakan sebiliknya ke arah kebaikan, banyak sekali halangan dan rintangan yang terpaksa dilalui. Baru petang tadi,dia menegur rakannya itu yang berseluar pendek.Kemudian,dia dikatakan sebagai orang yang tak cukup ilmu dan tak layak untuk menegurnya.Dia kebingungan.Ada benarnya juga kata-kata rakan sebiliknya itu.Dia hanya lepasan sekolah harian dan rakannya yang ditegur tadi sekolah agama.Tinggal lagi yang membezakan dia dengan sahabat biliknya itu adalah perlaksanaan agama Islam itu sendiri.Dia menjaga ibadahnya sedangkan sahabatnya kadang-kadang melewatkan solat sampai di hujung waktu.Sudah banyak kali ditegur. Tapi itulah jawapan dari mulutnya.Ilham belum cukup ilmu dan tak pantas menegur.Persoalan ini yang ingin diajukan kepada naqib usrahnya, akh Faiz.

              Sedar tak sedar, langkah kakinya terhenti di depan tangga masjid. Seorang pelajar yang berjanggut nipis menegurnya.”Assalamualaikum Ilham,hari ni pergi usrah[1] abang Faiz?,”tanya Fateh.”InsyaAllah, pergi.”Jawabnya ringkas.Baginya, panggilan Illahi lebih diutamakan daripada panggilan sahabatnya. Nabi Sollahu A’laihi Wasallam sendiri bila masuk waktu solat,baginda Sollahu A’laihi Wasallam seolah-olah tidak kenal sesiapa.Demikian diriwayatkan dari Saidatina Aisyah R.A.Ilham mengatur langkahnya kemas ke saf solat.Tidak tergesa-gesa dan tak terlalu cepat.Dia teringat pesanan gurunya dalam suatu majlis ilmu tentang hal itu.Usai solat sunat ba’diyah[2] Maghrib,sahabatnya yang tadi,Fateh membuat isyarat kepadanya untuk keluar dari masjid.Malam itu, mereka ada usrah di ruang belajar Mahallah[3] Umar Al Khattab.Usrah ini sangat ditunggu-tunggu mereka kerana ini perjumpaan yang terakhir sebelum masing-masing bercuti selama tiga bulan.


**********************************************************************************
           

           “Pemuda hari ini harus sedar betapa kita ini merupakan harapan umat.Ibarat anak sulung yang menjadi harapan keluarga.Sudah pasti keluarga sangat mengharapkan anaknya yang pertama tadi berjaya dan meningkatkan taraf hidup keluarga.Demikian juga pemuda.Jatuh bangunnya Islam adalah terletak di tangan pemuda.Pemudalah yang menggerakkan seluruh jentera dan komponen dalam Islam supaya dengan semangat dan kuasa yang ada pada pemuda,Islam boleh kembali gah sekali gus menggentarkan musuh-musuh Allah.Pada hari ni, Islam semakin terkebelakang.Agama yang diredhai Allah ini dihinjak-hinjak dan dibakul sampahkan oleh musuh Allah terutamanya Yahudi.Kalau kita lihat di Negara Islam yang diserang, contohnya Palestin. Umat Islam begitu dihinakan sekali oleh kuffar.Nyawa umat Islam di Palestin ibarat semut yang boleh dipijak dan hanya menunggu saat kematian.Meskipun ada usaha dari Hamas, cabang Ikhwan Muslimin di Palestin untuk menentang tentera Israel, tetapi tetap saja nyawa umat Islam yang terbunuh meningkat saban hari.Anak-anak yang tidak berdosa merintih memohon pertolongan. Warga emas yang tak berdaya hanya mampu berdoa mengharapkan kesatuan umat Islam untuk memerangi Yahudi.PBB pula seolah-olah menjadi boneka kepada mereka.

           Anak muda di sana, tidak seperti kita yang menikmati segala kemewahan yang ada.Bagi mereka, umur seusia satu angka sudah sepatutnya menggunakan seluruh kudrat dan tenaga bagi mempertahankan tanah air mereka  dan Islam khususnya.Meskipun, kadang kala hanya botol air dan batu menjadi senjata mereka.Masakan kita hendak berdiam diri, bertongkat dagu dan duduk bersila.Pemuda di saat ini harus keluar dari kepompong keselesaan.Kita merasakan diri kita selesa dengan kehidupan masing-masing.Sedangkan di suatu sudut dunia yang lain,ada yang meninggalkan zaman kanak-kanaknya dengan mengangkat senjata untuk menentang kezaliman.Kita selesa dengan kehidupan kita sebagai pelajar,mengejar pointer dan mendapatkan segulung ijazah.Sedangkan di suatu sudut dunia, pemuda-pemuda ini begitu tegar memperjuangkan Islam dan mereka begitu mendambakan ijazah yang lebih baik dari dunia dan seisinya iaitu syurga Allah yang abadi.Pemuda saat ini juga harus meninggalkan budaya Hedonisme yakni hiburan berlebihan.Ternyata, ramai dalam kalangan umat Islam sudah menjadi penagih kepada agenda Morfin[4] yand dibawa Yahudi ini.Agenda yang meliputi ‘song’,’sport’,’fashion’ dan lain-lain telah mendarah daging dalam masyarakat kita.Mahasiswa seperti kita ini juga kadang-kadang termakan dengan agenda ini.Muzik umpamanya banyak melalaikan mahasiswa kita sehingga waktu azan masuk pun kadang-kadang kita buat endah tak endah.Dengan ‘earphone’ yang melekap di telinga, kita tak sedar rupa-rupanya agenda Yahudi sedang disuntik halus ke dalam pemikiran kita. Kata Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makkiy [5],seorang ulama’ dari Indonesia,jangan sampai teknologi yang telah dipermudahkan oleh Allah melalui akal manusia membinasakan kita.Ertinya, jangan sampai teknologi seperti ‘earphone’ mengganggu waktu ibadat kita.

             Nah,sepatutnya pemuda harus bangkit dari lena dunia dan tak terus menjadi ‘pemudah cara’ untuk menjayakan agenda Yahudi yang melalaikan manusia daripada ingat kepada
Allah SWT.Pemuda seperti kita ini harus mencontohi dan mengambil ibrah[6] dari kehidupan sahabat. Mus’ab bin Umair umpamanya.Beliau ini sebelum masuk Islam sangat mahsyur dengan ketampanannya,kekayaannya dan keturunannya yang mulia.Tetapi setelah memeluk Islam,beliau meninggalkan seluruh kemewahannya dan sanggup berputus cinta dengan ibunya, demi menggapai cinta Allah dan RasulNya. Lantas apabila beliau dimuliakan Allah syahid dalam peperangan Uhud, Rasulullah dan para sahabat menemuinya dalam keadaan yang mengharukan sekali. Masakan tidak, seseorang yang dahulunya begitu mahsyur dengan pakaiannya , saat ini pakaiannya tidak mampu untuk menutup keseluruhan tubuhnya.Ditutup bahagian atas, bahagian bawah terbuka.Ditutup bahagian bawah,bahagian atas terbuka.Ini contoh pemuda harapan ummah.Benih Islam yang disemai Rasulullah ini subur dakwahnya sehingga sebahagian penduduk Yathrib memeluk Islam kerananya.Demikian kuasa seorang pemuda.

          Di saat ini, tidak perlu timbul kepada pemuda soal kita layak atau tidak , kita cukup ilmu atau tidak,tetapi persoalannya sekarang sejauh mana kita menggunakan ilmu yang cetek ini untuk mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran ?Sejauh mana kita guna ilmu yang ada untuk beri manfaat pada orang lain?Fikir-fikirkanlah sahabat-sahabat yang ana kasihi.Islam langsung tidak kehilangan izzah[7]nya sekiranya kita tidak ada. Tapi sebetulnya kitalah yang memerlukan keizzahan Islam.Islam sangat menyarankan kita supaya menyayangi kaum muslimin.Sabda Nabi Sollahu A’laihi Wasallam, “Sesiapa yang tidur nyenyak dan tidak mengambil peduli urusan kaum muslimin.Maka,dia bukan dalam kalangan mereka.

              Justeru,Ilham,Fateh,Azri,Alif dan Zul ,kita harus bersama-sama menyebarkan dan meninggikan kalimat Allah SWT di muka bumi ini.Musuh Allah pun ada organisasi dan perancangan yang teliti untuk menjatuhkan agama Islam, apatah lagi kita  yang wajib untuk buat lebih lagi dari apa yang mereka rancangkan.Ingat,kebatilan yang terancang sentiasa dapat mengalahkan kebenaran yang tidak terancang.Jadi,ana rasa cukup setakat ini.Pesanan ana sebelum kita cuti semester ni,bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kita berada.Perbanyakkan selawat kepada baginda Sollahu A’laihi Wasallam sebab bagindalah yang menjadi suri teladan kita dalam menyusuri liku dakwah ini dan menjadi bukti kecintaan kita kepada baginda.Persiapkanlah diri kita dengan ilmu pengetahuan dengan menghadiri majlis ilmu asatizah dan para ulama’  di samping berupaya menyucikan hati kita daripada kotoran maksiat.Sebarkanlah keindahan Islam kepada sahabat-sahabat antum,ahli keluarga dan jiran tetangga.Moga Allah memberkati kita semua.Maaf kalau ada terkasar bahasa, kerana diri ni cuma debu yang melekat di lantai dakwah,andai Allah SWT menghendaki ia terbang,maka terbanglah ia.Sampaikan salam ana kepada ibu bapa antum.”

           Masing-masing membisu seribu bahasa.Seperti ada kuasa yang menginginkan kemenangan Islam mengalir di setiap salur darah mereka.Tidak terasa hampir empat puluh minit akh Faiz menyampaikan tazkirahnya.Segala persoalan yang bermain di minda Ilham juga sudah terjawab dengan jelasnya.Kini,terdetik dalam hati mereka untuk berkata kepada dunia bahawa  “InsyaAllah,pemuda akan menggoncang dunia!”                                                     
                                                                                                                                               
Ibnu Fuad al-Anshari
17 Oktober 2011 @ 19 Zulkaedah 1432H


[1] berasal dari perkataan Arab yang membawa makna keluarga adalah merupakan satu medan di mana ahlinya bersama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah
[2]  selepas
[3]  Blok/Bangunan/Asrama
[4] Sejenis dadah
[5]  Beliau ialah Muhammad Nuruddin bin Hj. Marbu bin Abdullah bin Thayyib.Dilahirkan di perkampungan “Harus”, Amuntai ,Banjarmasin pada 1 September 1960 dari keluarga yang mulia dan kuat beragama.Datuknya sebelah ibu, Hj Muhammad Sobri merupakan salah seorang Ulama’ besar Amuntai, meninggal dunia pada tahun 1984 Masihi.Di antara ulama’ besar yang beliau sempat berguru ialah Musnid ad-Dunya,
al-Alim al-Allamah Syaikh Muhammad Yasin al-Fadani dan Syaikh Ismail Osman Zain al-Yamani.
Lihat al-Mujarrabat al-Makkiyah (halaman terakhir)
[6]  pengajaran
[7]  kemuliaan

No comments:

Post a Comment